Masa : Baru sampai rumah
Petang itu saya menerima surat dan sekeping kad jemputan perkahwinan daripada sepupu saya di Sabah yang berbunyi begini.
...Laila, ini saya kirimkan kad perkahwinannya si Abraham yang beralamatkan nama saya dan Danny. Dan Abraham tidak tahu tentang kad ini yang saya majukan kepada kamu, apa-apa tentang kamu pun dia tidak tahu. Janganlah risau, sebagaimana yang kau inginkan, saya akan tetap menyimpan rahsia ini. Sekarang terserahlah kepada kamu apa-apa yang akan kamu lakukan. Pengantinnya itu adalah orang yang kau kenali juga, tidak pernah salah segala dugaan kamu selama ini.
Biru muda. Kad jemputan itu berwarna biru muda. Apa perasaan saya ketika menatapnya? Dulu saya memang pernah terfikirkan tentang hal ini. Suatu hari nanti saat ini pasti akan tiba, saya kata. Dan sekarang, saya sedang membaca kad jemputan perkahwinannya. Saya tidak pasti saya sepatutnya akan berasa apa, sebab saya sudah lama bersedia untuk ini. Barangkali kerana perasaan itu sudah berlalu, jadi saya simpan kembali kad itu beserta surat dari Andrea ke dalam sampulnya semula.
Masa: Malam, di rumah
Saya berasa hampa sedikit. Yang saya tunggu tidak muncul-muncul juga. Cuma sekeping surat dan kad jemputan perkahwinan itu, dari Andrea. Betul-betul tidak enak. Selain menganggur dan tidak punya kawan, atau lebih tepat sedang jauh daripada kawan-kawan. Tiba-tiba surat Andrea itu pula yang datang. Handset saya pun bila berbunyi, ia bukan nombor yang saya harap-harapkan. Cuma dari ahli keluarga dan kawan-kawan yang jauh. Iya, saya tahu mereka sentiasa juga akan mengingati saya. Tapi pada masa ini sebenarnya, saya betul-betul berharap satu panggilan yang boleh membuatkan saya gembira. Satu panggilan yang seolah-olah dapat memberikan saya hidup baru. Saya tidak ada pilihan lain, saya perlu bersabar. Barangkali untuk beberapa hari lagi.
...Abraham sedang... dia tidak seperti apa yang kau harapkan. Saban malam dia akan keluar dengan kenalan barunya yang bernama Justin itu. Mereka minum sampai mabuk dan lupa diri. Dia....
Smsnya saya padam tanpa habis membacanya. Saya tidak ingin tahu apa-apa pun tentang dia. Saya tahu mereka fikir saya sudah cukup stabil dari sudut emosi, tapi kadang-kala saya tewas juga. Akal saya masih sahaja sangat mudah dipengaruhi oleh perasaan. Saya tahu saya tidak boleh membiarkan hal ini berlarutan, saya perlu melakukan sesuatu. Dan saya fikir, begitulah caranya, salah satu darinya. Saya rasa saya memang patut, memang wajar untuk tidak ambil tahu dan tidak peduli tentang dia lagi.
Masa: Petang, Kings Cafe
Orang kata, untuk menilaikan kematangan seseorang, perlu dilihat bagaimana dia mengendalikan dirinya selepas sesuatu keputusan itu diambil, bukan melihat kepada bentuk keputusan yang telah dipilihnya.
" Sedapkah burger ini?" Farhan tersenyum kepada saya.
" Sedap, saya tidak kisah kalau kau order lagi dua ketul. Terlampau sedap." Jawab saya. Dia senyum lagi. Dan saya kata dalam hati, pedulilah gemuk. Saya memang mahu mencapai 53 kilogram itu balik. Saya tidak mahu peduli apa orang lain kata. Sekarang, saya mahu melakukan banyak hal yang dahulunya saya dikawal dan ditahan agar tidak melakukannya.
Posted at 02:40 am by nurul78