Suatu Petang Melihat Pakcik

Kenapa semasa ada
kita sering terlupa.
Kenapa ketika jauh
kita berharap masih disempatkan.
Kenapa sewaktu dekat
kita tidak mahu mengaku.
Kenapa setelah tiada
kita baru tersedar.
Menyesali?
Melihat keadaan Pakcik pada petang itu memanggil ingatan dan kerinduan saya kepada arwah nenek. Merenungi keadaan Pakcik petang itu membuat saya terkenangkan bapa.
Matanya merona merah tatkala Ixora memegang tangannya. Betul kata nenek, mata akan mampu menceritakan sesuatu. Sentuhan dapat mengungkapkan sesuatu. Usapan mendekatkan jiwa. Dan saya menyakini bahawa Ixora pun sedang terkenangkan seseorang.
Saya takut melihat tafsir tua yang membebani orang-orang yang saya sayang. Tapi saya tidak lupa dan harus menerima, tua pasti datang dalam setiap makhluk Tuhan yang bernyawa.